Tuesday, October 27, 2009

RM1 Juta Tidak Cukup Selepas Bersara


UTUSAN MALAYSIA 21 April 2009 | EKONOMI


JOHOR BAHRU 20 April - Rakyat Malaysia daripada golongan sederhana memerlukan sekurang-kurangnya RM1 juta ketika bersara sekiranya mahu mengekalkan gaya hidup semasa.

Pengurus Negara ESG Direct Asia Pte. Ltd. bagi Malaysia, K. Sasitharan berkata, bagaimanapun jumlah itu sebenarnya hanya sekadar 'cukup makan' jika diambil kira kos perubatan dalam tempoh berkenaan.

Beliau berkata, berdasarkan tinjauan yang dijalankan mendapati hanya 10 peratus rakyat Malaysia yang memiliki simpanan yang baik untuk menghadapi zaman persaraan mereka nanti.

''Namun, simpanan tersebut bukan hasil daripada tabiat menabung tetapi sebaliknya disebabkan mendapat gaji besar sehingga menyebabkan simpanan dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja mencukupi," katanya kepada Utusan Malaysia selepas mengadakan Seminar Khas Perancangan Kewangan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2009 di sini.
Beliau berkata, sejumlah 10 peratus didapati menjadikan amalan menyimpan untuk menghadapi persaraan manakala 80 peratus lagi tidak bersedia langsung dan terpaksa bergantung kepada anak-anak.

Sasitharan berkata, walaupun amalan menabung masih lagi rendah di kalangan rakyat Malaysia tetapi ia adalah perkara normal bagi negara yang memiliki populasi muda.
Bagaimanapun, situasi itu perlu diperbaiki sebelum menimbulkan masalah kepada negara kerana dalam tempoh 15 hingga 20 tahun lagi Malaysia berpotensi untuk mempunyai majoriti penduduk dewasa.

Beliau berkata, rakyat Malaysia sepatutnya menukar persepsi yang ada dan menjadi lebih bersedia dalam mengharungi dunia persaraan tanpa perlu mengurangkan gaya hidup sedia ada.

''Di Malaysia, pesara secara automatik akan mengubah gaya hidup kebelakang berikutan kekangan wang untuk meneruskan gaya hidup selesa semasa bekerja.
''Sebab itu, pesara akan balik ke kampung selepas bersara dengan harapan dapat mengawal perbelanjaan harian, sekali gus mengurangkan beban kos hidup,'' jelasnya.

Beliau menafikan bahawa amalan menabung hanya berupaya dilakukan oleh golongan yang memiliki gaji yang lumayan.
''Dakwaan ini tidak benar kerana golongan pekerja yang memiliki gaji RM1,000 pun menabung, secara perlahan-lahan kerana gaji yang diperoleh akan mengalami kenaikan seiring tempoh bekerja,'' jelasnya.

Sasitharan menegaskan, masalah di Malaysia adalah kebanyakan rakyatnya lebih mengutamakan gaya hidup berbanding menabung.
Sambil memberi contoh, katanya, rakyat Malaysia sekarang dilihat lebih cenderung berbelanja terlebih dahulu sebelum mendapat gaji.

''Sekarang ini, kad kredit telah mengawal perbelanjaan rakyat Malaysia, ini memang budaya bahaya kerana setiap kali mendapat gaji, kita akan mendahulukan hutang,'' katanya.

Ditanya apa yang perlu dilakukan jika tabungan pekerja masih tidak mencukupi pada usia 55 tahun, Sasitharan berkata: ''Pekerja itu perlu terus bekerja kerana usia persaraan 55 tahun adalah masih muda berbanding negara maju pada usia 65 tahun. Ini bukan bermakna pesara yang tidak mempunyai cukup simpanan masih mempunyai 10 tahun lagi untuk menabung,'' kata beliau.



All Rights Reserved by SyedFarid.eTiQa

Sunday, October 11, 2009

MELAHIRKAN KESYUKURAN ATAS PEMILIKAN HARTA

Oleh: AZRUL AZLAN ISKANDAR MIRZA

ISLAM tidak pernah menghalang umatnya memiliki kekayaan. Bahkan kekayaan itu amatlah digalakkan agar umat Islam tidak menjadikan alasan kekangan kewangan sebagai alasan untuk mundur.

Perolehan kekayaan juga adalah digalakkan melalui jalan perniagaan. Perkara ini telah dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadis riwayat Bazaar dan al-Hakim yang bermaksud:
“Rasulullah bertanya mengenai usaha yang paling baik sebagai sumber pendapatan atau rezeki. Baginda menjawab: Pekerjaan yang paling baik hasil usahanya sendiri dan setiap perniagaan yang baik serta halal’’.

Realitinya, kekayaan yang diperoleh oleh kita adalah merupakan amanah daripada Allah. Allah telah mengurniakan kekayaan untuk disyukuri oleh umat. Proses kesyukuran ini bertumpu kepada beberapa aspek iaitu:

Pertama, hendaklah beriman kepada Allah yang telah memberikan rezeki. Allah dengan kuasa-Nya telah mengurniakan kita ruang untuk menjadi seorang yang berharta. Harus diingat bahawa semuanya datang daripada Allah, dalam sekelip mata Allah boleh menarik balik harta tersebut. Justeru, sewajarnya kekayaan ini meningkatkan iman dan takwa kepada Allah, bukan menghilangkan sifat-sifat iman tersebut.

Kedua, hendaklah menggunakan harta tersebut bagi tujuan kebajikan. Perkara penting bagi menghayati kesyukuran ialah membelanjakan kekayaan yang dimiliki kepada jalan kebajikan. Manusia lazimnya mudah lupa kepada diri sendiri dan asal-usul. Kekayaan menyebabkan mereka terus membazir dan tidak menggunakan harta tersebut ke jalan yang sepatutnya. Sedangkan membazir itu adalah amalan syaitan. Firman Allah ‘‘Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya”. (Surah al-Israa: 27)

Justeru, fokus utama perbelanjaan adalah ke arah tanggungjawab dan kebajikan. Tanggungjawab kepada ahli keluarga dan tanggungan serta kebajikan kepada individu atau kumpulan yang memerlukan. Ini adalah bentuk penghayatan ke arah mensyukuri nikmat Allah.

Ketiga, perbelanjaan harta tersebut hendaklah bersifat jangka pendek dan panjang. Perancangan kewangan perlu dilakukan agar menjadikan kita terus mensyukuri nikmat Allah. Ada yang sering lupa diri apabila dikurniakan harta yang banyak sehingga akhirnya papa hasil daripada kelalaian sendiri. Perancangan ini hendaklah ditimbang mengikut konsep darurat (keperluan asasi), seperti kediaman dan makanan, dan juga keperluan hajiyat (diperlukan) dan tahsiniyat (kemewahan) seperti perhiasan rumah.

Proses menimbang tara keperluan-keperluan ini hendaklah mengikut kemampuan individu. Tanpa perancangan kewangan yang baik, kita tidak boleh dan berupaya menghayati konsep kesyukuran atas kurniaan harta.

Selain itu, keperluan-keperluan wajib juga hendaklah diutamakan di dalam perancangan kewangan. Bagi umat Islam, kita perlu memikirkan tanggungjawab agama seperti peruntukan atau simpanan khas bagi menunaikan fardu haji berbanding pelancongan mewah di Eropah. Ia juga satu tanggungan yang tidak boleh diabaikan sebagai bukti kesyukuran terhadap harta yang diperoleh.

Keempat, bersyukur dengan menunaikan zakat. Zakat tidak hanya tertumpu kepada zakat fitrah, malah di Malaysia, setiap janaan pendapatan hendaklah dibayar zakat apabila cukup syaratnya. Biarlah kesyukuran itu dizahirkan dengan pembayaran zakat, bukan sekadar melepas batuk di tangga akibat undang-undang, tetapi melalui penghayatan terhadap penyucian harta.

Ada di kalangan kita yang berniaga, mungkin melalui beberapa kesilapan yang bukan melibatkan harta kita. Mungkin usaha kita tidak setimpal dengan upah yang kita peroleh, atau berlaku sedikit penindasan walaupun kecil. Ada juga di kalangan kita yang makan gaji, tetapi ada culasan-culasan yang kita pernah lakukan. Biarlah pembayaran zakat ini menyucikan kesilapan-kesilapan kecil yang pernah kita lakukan. Ia juga melibatkan pembersihan harta agar setiap sen yang kita peroleh itu benar-benar diterima oleh Allah.

Kita sering melenting apabila barang berharga yang kita miliki hilang. Namun, kita tidak pernah melenting apabila tidak membayar zakat. Ia adalah satu unsur yang melibatkan materialisme, yang perlu untuk dijauhkan di dalam membina tamadun yang gemilang.

Kelima, hendaklah mensyukuri harta dengan memberikan sumbangan kepada alam. Pernahkah kita terfikir bahawa setiap perbelanjaan harta kita boleh membawa kepada pencemaran atau kekurangan sumber alam. Sebagai contoh, pembinaan kediaman yang mewah di pinggir bukit memang melambangkan kemewahan, namun ia juga boleh merosakkan sistem alam.

Hakikatnya, kesyukuran itu sangat besar untuk dihayati, namun kehadiran tahun baru mampu memberikan kita sejenak ruang bagi memikirkan sejauh mana kesyukuran kita terhadap harta.

- PENULIS ialah pensyarah di Fakulti Ekonomi & Muamalat Universiti Sains Islam Malaysia.
UTUSAN MALAYSIA ARKIB : 04/01/2008


All Rights Reserved by SyedFarid.eTiQa

FARAID N SUCH

PENGERTIAN FARAID
Formula Pembahagian serta Hukum Faraid telah dinyatakan dengan jelas oleh ALLAH S.W.T di dalam Surah An-Nisa Ayat 11, 12 dan 176.

Perkataan Faraid dari segi bahasa mempunyai maksud yang banyak. Antaranya ialah menentukan, memastikan, menghalalkan dan mewajibkan. Menurut istilah syarak, Faraid adalah pembahagian harta seorang Islam yang telah meninggal dunia dan tidak meninggalkan wasiat sebelum kematiannya. Maka harta peninggalannya akan di bahagikan kepada ahli warisnya (seperti anak, isteri, suami, ibu dll), menurut hukum Islam. Harta yang dibahagikan kepada ahli waris adalah baki harta yang ditinggalkan setelah ditolak segala pembiayaan pengurusan jenazah, hutang pewaris (zakat, nazar, dll) dan wasiat yang dibenarkan oleh syarak.

CARA PENGAMBILAN HARTA PUSAKA
Jalan untuk melakukan pembahagian pusaka ialah dengan terlebih dahulu meneliti siapakah di antara waris yang berhak menerima pusaka dengan jalan Ashabul-Furud, kemudian dicari siapakah yang Mahjud, barulah bakinya diberikan kepada yang berhak menerima Asabah.

1. Ashabul-Furud
Golongan ini mengambil pusaka menurut bahagian yang telah ditetapkan oleh syarak iaitu sama ada 1/2, 1/3, 1/4, 2/3, 1/6 atau 1/8. Mereka terdiri daripada isteri atau suami, ibu atau nenek, bapa atau datuk, anak perempuan atau cucu perempuan, saudara perempuan kandung, saudara perempuan sebapa dan saudara seibu.

2. Asabah
Merupakan golongan yang akan terima baki setelah semua golongan (1) mendapat bahagian golongan asabah. Terdapat 3 jenis asabah iaitu:
(a) Asabah Binafsih
(b) Asabah Bil Ghoir
(c) Asabah Maal Ghoir.

(a) Asabah Binafsih
Pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta, atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang lelaki, tidak bersebab atau beserta orang lain. Mereka terdiri daripada 12 orang lelaki iaitu bapa, datuk, anak lelaki, cucu lelaki anak lelaki, saudara lelaki kandung, saudara lelaki sebapa, anak lelaki saudara lelaki kandung, anak lelaki saudara lelaki sebapa, bapa saudara kandung, bapa saudara sebapa, anak lelaki bapa sudara kandung dan anak lelaki bapa saudara sebapa.

(b) Asabah Bil Ghoir
Pembahagian pusaka dengan jalan menghabiskan semua harta, atau pengambilan semua baki untuk semua perempuan dengan sebab adanya orang lelaki lain. Terdiri daripada 4 orang iaitu: anak perempuan atau lelaki, cucu perempuan atau lelaki, saudara kandung perempuan atau lelaki, saudara sebapa atau lelaki perempuan.

(c) Asabah Maal Ghoir
Pembahagian pusaka dengan jalan menghabisi semua harta, atau mengambil semua sisa untuk sekelian orang perempuan sebab beserta orang perempuan lain. Terdiri daripada 2 orang perempuan iaitu: saudara perempuan kandung dan saudara perempuan sebapa (berkongsi dengan anak atau cucu perempuan).

3. Dhawil-Arham
Golongan ini akan menggantikan golongan (1) dan (2) setelah kedua-duanya tiada kecuali suami atau isteri tidak menghalang golongan ini mengambil bahagian harta. Tetapi biasanya golongan ini akan terhalang menerima harta. Keadaan ini disebut hijab iaitu dinding yang menjadi penghalang seseorang daripada ahli waris untuk menerima pusaka kerana masih ada ahli waris yang masih dekat hubungan kekeluargaannya dengan simati. Terdapat 4 golongan Dhawil-Arham (masih ada hubungan kerabat) iaitu: golongan datuk dan nenek, golongan cucu dan cicit (anak dari cucu), golongan anak saudara dari saudara perempuan dan golongan bapa saudara atau emak saudara atau saudara lelaki atau perempuan ibu. Manakala hijab yang telah disebutkan tadi terdiri daripada 2 jenis iaitu:
Hijab Nuqshon dan Hijab Hirman.
(a) Hijab Nuqshon
Terhalang dengan mengurangi pembahagian ahli waris dari menerima pembahagian Ashabul-Furud yang lebih banyak menjadi lebih sedikit, kerana masih ada ahli waris lain yang bersama-samanya. Seperti suami dari menerima setengah menjadi seperempat kerana ada anak atau cucu.
(b) Hijab Hirman
Terhalang dengan tidak menerima pembahagian pusaka sama sekali kerana masih terdapat ahli waris yang lebih dekat hubungannya dengan yang mati yang lebih berhak untuk menerima harta pusaka. Misalnya saudara lelaki sebapa terhalang kerana adanya saudara lelaki kandung dan datuk terhalang sebab adanya bapa.

Sumber: http://maths.usm.my/faraid/


All Rights Reserved by SyedFarid.eTiQa