Monday, December 29, 2008

Takaful semakin diterima masyarakat

Oleh Shahrizan Salian


RIBUAN tahun dulu, konsep takaful diguna pakai umat Islam atas prinsip
muamalah mengikut syariat dan perundangan Islam. Konsep itu berasal
daripada perkataan Arab iaitu ‘kafalah’ yang membawa maksud jaminan atau
kerjasama.

Hari ini, polisi insurans yang berpaksikan kepada syariat dan kehendak
Islam itu sudah membina tapak kukuh dan mendapat tempat di negara ini. Pada
1984, industri takaful mula diperkenalkan kepada orang ramai selepas kajian
terperinci dilakukan Majlis Fatwa Kebangsaan.

Pada awal kemunculannya, pelbagai cabaran dihadapi syarikat yang menawarkan
produk berkenaan. Kesukaran untuk menjelaskan konsep diguna pakai takaful
serta kekeliruan mengenai perbezaannya dengan insurans konvensional
menyebabkan ia tidak menjadi pilihan utama orang ramai ketika itu.

Syarikat takaful menghadapi masalah untuk meyakinkan orang ramai bahawa
produk itu tiada kekurangan berbanding insurans konvensional. Malah, ia
turut mempunyai nilai tambah iaitu ketelusan urus niaga, sumber kewangan
halal serta asas saling mempercayai antara syarikat dengan pemegang polisi
takaful.

Elemen dan manfaat terkandung dalam polisi takaful adalah setanding dengan
insurans konvensional. Bagi orang Islam, takaful dianggap ‘penyelamat’
kepada keperluan kewangan mereka. Bagaimanapun, semakin ramai orang bukan
Islam turut menjadi pemegang polisi takaful di negara ini.

Ketua Eksekutif dan Pengarah Urusan Takaful Ikhlas Sdn Bhd, Syed Moheeb
Syed Kamarulzaman, berkata pada 2005, hanya empat syarikat terbabit secara
langsung dengan industri takaful.

Bagaimanapun, katanya, menjelang akhir 2006, ia bertambah kepada sembilan,
sekali gus membuktikan produk itu mempunyai permintaan amat
memberangsangkan.

Katanya, tahun lalu industri takaful mencatatkan pertumbuhan 20 peratus
dengan perolehan daripada takaful keluarga dan am bernilai kira-kira RM1.8
bilion,” katanya sambil mensasarkan pertumbuhan 20 peratus industri
berkenaan tahun ini membabitkan perolehan kira-kira RM2.35 bilion.

Beliau menjangkakan, industri takaful tidak akan menghadapi masalah untuk
mencapai sasaran itu berikutan penyertaan lima lagi peserta industri hujung
tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, industri itu perlu menumpukan kepada empat aspek asas
pemasaran iaitu produk, harga, promosi dan pengedaran bagi menjana
pertumbuhannya pada masa depan.

Syed Moheeb berkata, produk takaful perlu meningkatkan piawaian
perkhidmatannya bagi menambah keyakinan masyarakat bahawa industri itu
serius dalam memberi jaminan perlindungan kepada pemegang polisinya.

Katanya, ia termasuk mempercepatkan sistem tuntutan pembayaran apabila
semua syarat yang terkandung dalam polisi takaful sudah dipenuhi kedua-dua
pihak.

Selain itu, beliau berkata peserta industri takaful perlu terus giat
mempromosikan produk itu kepada golongan profesional yang mempunyai
kredibiliti sebagai pelabur.

“Golongan sasar ini dijangka mampu menjana pertumbuhan industri takaful
sekali ganda, sekiranya mereka diberikan penjelasan terperinci mengenai
kelebihan produk yang ditawarkan,” katanya.

Ketua Eksekutif Syarikat Takaful Malaysia Bhd, Md Adzmi Abu Bakar, berkata
industri takaful tempatan sedang dalam proses meningkatkan kesedaran dan
promosi mengenai produk takaful di kalangan orang ramai, terutama bukan
Islam.

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Takaful Malaysia (MTA) berkata, dengan
adanya syarikat seperti Hong Leong Assurance dan HSBC Bank yang menawarkan
produk takaful kepada pelanggannya, bilangan bukan Islam yang melanggan
produk takaful dijangka bertambah pada masa depan.

Pada asasnya, perniagaan takaful mempunyai objektif serupa dengan industri
insurans konvensional. Kedua-duanya adalah instrumen yang mensasarkan untuk
memberi perlindungan kepada pemegang polisinya yang menghadapi musibah
seperti kematian atau kemalangan.

Bagaimanapun, selepas kajian dibuat ke atas syarat dan kontrak terkandung
dalam insurans konvensional, pelbagai keraguan timbul berikutan prinsip
muamalah (perniagaan) yang ditawarkan mengandungi unsur seperti ‘gharar’
(tiada ketentuan), penipuan dan riba.

Pengerusi Jawatankuasa Syariah Takaful Nasional Sdn Bhd, Datuk Seri
Harussani Zakaria, berkata suatu muamalah yang bercampur antara halal dan
haram hukumnya adalah haram.

Katanya, polisi insurans konvensional mengandungi unsur keraguan dan tidak
jelas kerana terdapat sesuatu perkara disembunyikan oleh sebelah pihak
serta menimbulkan penganiayaan terhadap sebelah pihak lain.

“Kontrak insurans konvensional mengandungi unsur ‘gharar’ kerana apabila
tidak berlaku sesuatu tuntutan, satu pihak iaitu syarikat insurans akan
mendapat semua premium manakala pemegang polisi tidak mendapat sebarang
keuntungan,” katanya.

Harussani yang juga Mufti Perak menjelaskan, elemen ‘gharar’ wujud apabila
pemegang polisi insurans tidak mengetahui dengan jelas sama ada akan
mendapat bayaran yang dijanjikan syarikat, tidak mengetahui kadar
bayarannya serta tidak mengetahui bila masanya untuk mendapat tuntutan
pembayaran.

Selain itu, katanya, unsur riba turut terkandung dalam perniagaan insurans
konvensional, kerana dana tabungan insurans kebanyakannya dilaburkan dalam
instrumen kewangan seperti bon atau saham membabitkan syarikat yang berurus
niaga dengan sistem perbankan konvensional.

Sehubungan itu, beliau berkata, konsep takaful diperkenalkan sebagai ganti
kepada insurans konvensional dengan mengguna pakai dana Tabarru’
(kebajikan).

“Kebanyakan syarikat takaful negara ini menawarkan produk yang berpandukan
kepada model ‘Al-Mudharabah’ iaitu perkongsian keuntungan seperti
dipersetujui dalam kontrak menggunakan dana yang dikumpulkan pemegang
polisi,” katanya.

Harussani berkata, pada masa depan, model ‘Wakalah’ yang diguna pakai
kebanyakan negara di Asia Barat, akan mula diperkenalkan di negara ini.

Katanya, model itu akan menggunakan premium yang dicaj kepada pemegang
polisi untuk menjalankan perniagaan.

Beliau berkata, kadar fi akan ditetapkan lebih awal selepas dipersetujui
Jawatankuasa Syariah syarikat takaful.

“Meskipun terdapat keraguan di kalangan orang Islam mengenai status model
‘Wakalah’ yang dikatakan tiada beza dengan insurans konvensional, ia
diperakui halal selagi dananya diperniagakan secara telus,” katanya.

Secara keseluruhannya, industri takaful kini tidak lagi dianggap
‘penumpang’ dalam sektor insurans negara ini.

Kehadirannya bukan saja mampu menjana ekonomi negara secara amnya, tetapi
lebih penting ia dijalankan mengikut tuntutan syariat Islam dan konsepnya
yang telus turut diperakui bukan Islam.


©The New Straits Times Press (M) Berhad

No comments: