Sunday, February 22, 2009

Pengurusan Harta Islamik

Seorang Muslim seharusnya bersyukur atas nikmat & anugerah Allah SWT yang maha luas dan tidak terbatas. Hakikatnya kita hanyalah seorang hamba yang memainkan peranan sebagai khalifah di atas muka bumi.

وَمَا خَلَقۡتُ ٱلۡجِنَّ وَٱلۡإِنسَ إِلَّا لِيَعۡبُدُونِ (٥٦)
Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Az-Dzariyaat: 56)

ـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ ٱدۡخُلُواْ فِى ٱلسِّلۡمِ ڪَآفَّةً۬ وَلَا تَتَّبِعُواْ خُطُوَٲتِ ٱلشَّيۡطَـٰنِ‌ۚ إِنَّهُ ۥ لَڪُمۡ عَدُوٌّ۬ مُّبِينٌ۬ (٢٠٨)
Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam agama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.(Al-Baqarah: 208)

Setiap Muslim ada tanggungjawab di muka bumi ini sama ada dalam perbuatan mahupun urusan-urusan harian. 5 elemen utama yang dipertanggungjawabkan kepada kita, umat manusia iaitu:

- Agama (ad-din)
- Kehidupan (an-nafs)
- Akal fikiran manusia (al-‘aql)
- Keturunan (an-nasl)
- Harta (al-maal)


Untuk kesempurnaan hidup, adalah menjadi kewajipan kita untuk melindungi kelima-lima aspek ini. Salah satu elemen yang utama ialah HARTA. Sebagai hamba Allah dan khalifah Nya, kita diamanahkan dan dipertanggungjawabkan untuk mentadbir harta berlandaskan lunas-lunas syariah dalam kita memperoleh keredhan Allah & bukan dijadikannya sebagai lambang kekayaan/ simbol status.


Lima elemen pengurusan harta secara Islam ialah :

Penghasilan Harta (Wealth Creation)

Islam menggalakkan umatnya mencari harta & tidak hanya berserah kepada qada’ & qadar sebagaimana firman Allah dalam Surah Al-Juma’ah yang bermaksud :
فَإِذَا قُضِيَتِ ٱلصَّلَوٰةُ فَٱنتَشِرُواْ فِى ٱلۡأَرۡضِ وَٱبۡتَغُواْ مِن فَضۡلِ ٱللَّهِ وَٱذۡكُرُواْ ٱللَّهَ كَثِيرً۬ا لَّعَلَّكُمۡ تُفۡلِحُونَ (١٠)
Kemudian setelah selesai sembahyang, maka bertebaranlah kamu di muka bumi (untuk menjalankan urusan masing-masing) dan carilah apa yang kamu hajati dari limpah kurnia Allah, serta ingatlah akan Allah banyak-banyak (dalam segala keadaan), supaya kamu berjaya (di dunia dan di akhirat). (Al-Juma’ah: 10)



Pengumpulan Harta (Wealth Accumulation)

Pengumpulan harta (Wealth Accumulation) atau pengembangan harta. Ia boleh dibuat melalui simpanan & pelaburan di institusi kewangan. Islam menggalakkan umatnya untuk menyimpan serta melaburkannya, yang bermaksud :
قَالَ تَزۡرَعُونَ سَبۡعَ سِنِينَ دَأَبً۬ا فَمَا حَصَدتُّمۡ فَذَرُوهُ فِى سُنۢبُلِهِۦۤ إِلَّا قَلِيلاً۬ مِّمَّا تَأۡكُلُونَ (٤٧) ثُمَّ يَأۡتِى مِنۢ بَعۡدِ ذَٲلِكَ سَبۡعٌ۬ شِدَادٌ۬ يَأۡكُلۡنَ مَا قَدَّمۡتُمۡ لَهُنَّ إِلَّا قَلِيلاً۬ مِّمَّا تُحۡصِنُونَ (٤٨)
Yusuf menjawab: "Hendaklah kamu menanam bersungguh-sungguh tujuh tahun berturut-turut, kemudian apa yang kamu ketam biarkanlah dia pada tangkai-tangkainya; kecuali sedikit dari bahagian yang kamu jadikan untuk makan. Kemudian akan datang selepas tempoh itu, tujuh tahun kemarau yang besar, yang akan menghabiskan makanan yang kamu sediakan baginya; kecuali sedikit dari apa yang kamu simpan (untuk dijadikan benih).(Surah Yusuf: 47-48)



Perlindungan Harta (Wealth Protection)

Setiap orang harus mempunyai matlamat kehidupan & pasti salah satu darinya ialah kehidupan yang selesa & terjamin dari segi kewangan sepanjang hidup. Selain mempunyai simpanan dan harta yang mencukupi, diri kita dan harta kita juga harus diberi perlindungan dari sebarang musibah & perkara-perkara yang tidak diingini yang sewajarnya dengan Takaful (insuran cara Islam).

وَٱلَّذِينَ يُتَوَفَّوۡنَ مِنڪُمۡ وَيَذَرُونَ أَزۡوَٲجً۬ا وَصِيَّةً۬ لِّأَزۡوَٲجِهِم مَّتَـٰعًا إِلَى ٱلۡحَوۡلِ غَيۡرَ إِخۡرَاجٍ۬‌ۚ فَإِنۡ خَرَجۡنَ فَلَا جُنَاحَ عَلَيۡڪُمۡ فِى مَا فَعَلۡنَ فِىٓ أَنفُسِهِنَّ مِن مَّعۡرُوفٍ۬‌ۗ وَٱللَّهُ عَزِيزٌ حَڪِيمٌ۬ (٢٤٠)
Dan orang-orang yang (hampir) mati di antara kamu serta meninggalkan isteri, hendaklah berwasiat untuk isteri-isteri mereka, iaitu diberi nafkah saguhati (makan, pakai dan tempat tinggal) hingga setahun lamanya, dengan tidak disuruh pindah dari tempat tinggalnya. Kemudian jika mereka keluar (dari tempat tinggalnya dengan kehendaknya sendiri) maka tidaklah kamu bersalah (wahai wali waris si mati) mengenai apa yang mereka (isteri-isteri itu) lakukan pada diri mereka dari perkara yang patut (yang tidak dilarang Syarak) itu. Dan (ingatlah), Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana. (Al-Baqarah: 240)


Pembahagian Harta (Wealth Distribution)

Islam memperuntukkan beberapa cara atau kaedah untuk pembahagian harta seseorang Muslim sama ada sebelum atau selepas mati: Faraid, Wasiat & Hibah.


Pensucian Harta (Wealth Cleansing)

Harta adalah satu amanah yang dipertanggungjawapkan kepada kita & tidak seharusnya dibelanjakan atau digunakan mengikut kehendak & hawa nafsu. Ini kerana setiap harta ada hak-hak yang tertentu untuk dibahagikan iaitu:

Untuk Allah SWT dengan membayar zakat (keranaNya jua datangnya segala rezeki).

Untuk yang memerlukan seperti fakir, miskin & sebagainya melalui pembayaran zakat & amal jariah kita seperti sedeqah.

وَأَنفِقُواْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَلَا تُلۡقُواْ بِأَيۡدِيكُمۡ إِلَى ٱلتَّہۡلُكَةِ‌ۛ وَأَحۡسِنُوٓاْ‌ۛ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُحۡسِنِينَ (١٩٥)
Dan belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan (dengan bersikap bakhil) dan baikilah (dengan sebaik-baiknya segala usaha dan) perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.(Al-Baqarah: 195)

No comments: