Saturday, February 21, 2009

MERANCANG UNTUK PERSARAAN

Baru-baru ini saya telah berkesempatan pergi ke KWSP untuk meninjau-ninjau baki simpanan saya setelah bekerja sekian lama…

Adakala angkanya nampak agak lumayan tetapi apabila dicongak wang ini hanya akan menghasilkan "pencen" sebanyak RM1,300 sebulan untuk persaraan saya. Agak menakutkan memandangkan anak kecil kami akan berumur 15 dan 12 tahun pada waktu itu.
Bagaimana seseorang itu mendapatkan angka "pencen" ini? Saya menggunakan kaedah yang mudah untuk para pembaca mengira sendiri seperti contoh ini:
Baki di KWSP atau simpanan wang "terlonggok" pada umur 55 tahun – RM100,000.
Jika disimpan di bank dengan "keuntungan" yang dikongsi sebanyak 4% setahun, ini akan menghasilkan RM4,000.
RM4,000 dibahagi 12 (12 bulan dalam setahun) RM 333.33 sebulan.

Nah, mudah bukan? Jangan terperanjat pula apabila melihat angka yang kecil ini. Inilah realiti yang akan menimpa ramai di antara kita jika persediaan tidak diambil untuk merancang persaraan kita dari sekarang!

Andaian yang saya buat dalam contoh ini adalah wang yang terlonggok itu kita tidak dibenarkan sentuh… biarkan ia dalam bank dan kita hanya gunakan hasil perkongsian untung dari pihak bank yang dianggarkan 3% – 4% setahun (galakkan penggunaan skim perbankan Islam yang ada ataupun Tabung Haji).

Alhamdulillah, 10.4 juta rakyat Malaysia mencarum dalam KWSP dan dana terkumpul setakat Disember 2000 adalah RM179.05 billion (sumber dari Buletin KWSP). Jika tidak kerana kita dipaksa menabung, besar kemungkinan kita langsung tidak ada bekalan untuk hari tua.

Para pembaca budiman yang dirahmati Allah, dicadangkan anda membuat yang berikut bagi langkah merancang keperluan persaraan:
i) Kenal pasti berapa jumlah saraan yang diperlukan sebulan apabila persaraan kelak. Sila ambil kira tanggungan anda, pembayaran hutang jika masih ada dan tanggungjawab mengerjakan haji, jika masih belum dilakukan dan keperluan perubatan/pembedahan/biaya hospital.
ii) Jika jumlah ini RM2,000, kira ‘terbalik’ dan andaikan jika anda tabungkan sejumlah simpanan di bank dan menerima 4% setahun, berapakah jumlah simpanan yang diperlukan?
RM2,000 x 12 = RM24,000
RM24,000/0.04 = RM600,000
iii) Jadi RM600,000 jika dikali 4% akan menghasilkan RM24,000 setahun atau RM2,000 sebulan.
iv) Berapakah anggaran simpanan KWSP yang anda akan ada pada tarikh persaraan dan tolaklah angka yang diperlukan seperti untuk mendapatkan tambahan tabungan yang diperlukan.
Jika anggaran simpanan di KWSP RM400,000
Jumlah yang diperlukan RM600,000
Tabungan tambahan yang diperlukan RM200,000
Jumlah inilah yang perlu dirancangkan untuk disediakan bagi mencapai matlamat persaraan anda.

Contoh di atas belum kita ambil kira kadar inflasi, meningkatnya kos penyaraan hidup, kita juga mungkin akan menghadapi sakit tua, berulang-alik ke hospital untuk rawatan doktor. Mungkin juga berlaku perkara-perkara lain yang di luar dugaan yang memerlukan wang yang banyak.

Persoalannya, adakah cukup sekadar kita berharap dan bergantung hanya kepada simpanan KWSP sahaja? Ada baiknya kita mula merancang dari sekarang agar kebajikan kita dan keluarga terjamin bilamana kita mencapai usia persaraan. Seperti kata pepatah "Sediakan payung sebelum hujan".

Ada beberapa petua yang boleh membantu kita meringankan beban kewangan hari tua.
Pertama tentunya menabung sama ada dalam bank atau tabung haji.
Kedua, kita boleh membeli amanah saham syariah yang memberi pulangan yang baik.
Selalunya saya diajukan soalan sebegini:
"Bagaimana saya nak melabur atau menabung, sedangkan belum cukup bulan duit gaji dah habis…"
"Saya ni kais pagi makan pagi, kais petang makan petang."
"Hutang keliling pinggang."


Itulah realitinya, tidak pernah cukup. Tapi pokoknya berapa banyak yang cukup. Mungkin di sini kita perlu berjimat cermat, makan ala kadar, pakai ala kadar bak kata pepatah Melayu "ukur baju dibadan sendiri".

Seperkara lagi yang kita kurang ambil kisah adalah bab perlindungan atau insurans. Akhir-akhir ini, kita sering terdengar atau terbaca di akhbar atau menyaksikan dengan mata kita sendiri kemalangan yang meragut nyawa, penyakit kronik yang bila kita ketahui saja sudah terlambat.

Dengan sekelip mata, ahli keluarga kita hilang punca pendapatan hingga terpaksa merayu dan meminta-minta. Sekarang sudah ada sistem insurans Islam yang menawarkan pelan yang menarik seperti simpanan untuk hari tua. Contohnya, jumlah caruman sebanyak RM60 sebulan untuk tempoh perlindungan selama 30 tahun sehingga umur 60 tahun boleh melayakkan kita mendapat perlindungan sebanyak RM35,000. Seandainya kita hidup sehingga tempoh matang maka sekurang-kurangnya kita sudah ada wang simpanan sebanyak lebih kurang RM34,000.

Bagaimana pembaca sekalian boleh mendapat khidmat nasihat untuk merancang persaraan? Hubungi perancang kewangan islam yang anda kenali (Syed Mohd Farid dari Etiqa Takaful Berhad, ahli Kumpulan Maybank)

(Koleksi ANIS / Oleh: Hajah Rohani Datuk Hj. Mohd Shahir, Hijrah Strategic Advisory Group Sdn Bhd)

No comments: