Monday, December 29, 2008

Takaful lindungi diri, keturunan

Oleh Muhammad Shabri Abd Majid, BERITA HARIAN

HIDUP ini penuh dengan ketidakpastian dan risiko. Sesiapa pun pasti akan terdedah dengan musibah, malapetaka, ketidakberuntungan dan pelbagai risiko lain yang sentiasa membahayakan nyawa, kesihatan, harta benda, keluarga dan barang berharga.

Apa yang membezakannya hanya peringkat risiko. Namun, tiada siapapun yang hidupnya bebas daripada risiko.

Oleh itu, untuk menghadapi kemungkinan kerugian dan terpaksa menanggung risiko, Islam menggalakkan umatnya untuk membuat persiapan berjaga-jaga bagi menghadapi risiko itu.

Insurans adalah satu daripada institusi yang menawarkan perkhidmatan untuk membantu ‘melindungi’ diri dan ahli keluarganya daripada pelbagai malapetaka dan kerugian itu.

Bagaimanapun, ada pandangan bahawa insurans konvensional sekarang mengandungi unsur bercanggah dengan syariat Islam seperti riba (faedah), juhalah (ketidakpastian), gharar (kebarangkalian atau risiko), maisir (perjudian), eksploitasi dan ketidakadilan.

Maka diperkenalkan takaful (insurans Islam) sebagai pilihan kepada umat Islam untuk mendapatkan perkhidmatan dalam melindungi diri daripada pelbagai beban risiko yang bebas daripada unsur riba, maisir, juhalah dan gharar.

Konsep insurans dalam Islam, yang lebih dikenal dengan nama takaful pada asasnya berasal dari amalan tradisi puak Arab kuno.

Dalam tradisi Arab kuno, apabila berlaku pembunuhan di kalangan puak mereka, maka keluarga terdekat si pembunuh, khususnya dari sebelah bapa, yang disebut dengan aqilah akan secara bersama-sama mengumpulkan wang untuk digunakan sebagai wang tebusan. Ia dalam bahasa Arab disebut sebagai diyat kepada keluarga si mati.

Pembayaran diyat ini untuk meringankan beban anggota keluarga puak yang dibunuh. Budaya ini dipandang sebagai titik awal munculnya insurans yang sifatnya saling menguntungkan.

Ini kerana pada prinsipnya amalan diyat untuk meringankan beban setiap anggota daripada sesuatu puak dengan saling bantu-membantu.

Meskipun, ramai pemikir Islam tidak sepakat bila sebenarnya insurans mula diamalkan dalam Islam, berdasarkan sifat semula jadi kontrak insurans masa kini, ia dipercayai diamalkan sebelum zaman Nabi Muhammad saw.

Perkembangan insurans pada masa itu, agak lembap. Namun insurans dalam Islam dikenal luas sejak seorang ilmuwan Islam, Ibn Abidin (1784-1836) memperkenalkan makna, konsep dan hukum kontrak takaful secara terperinci dalam Islam.

Insurans amalan suku Arab kuno memiliki kesamaan dengan amalan insurans moden. Ini dapat kita lihat daripada doktrin al-'Aqilah yang diamalkan mereka. Doktrin aqilah adalah bahagian daripada adat istiadat kesukuan mereka. Menjadi kebiasaan mereka, jika ada seseorang anggota puak yang mati dibunuh oleh puak lain, maka keluarga korban yang dibunuh akan dibayar sejumlah wang tebusan atau diyat oleh keluarga terdekat si pembunuh sebagai ganti rugi bagi pihak keluarga yang dibunuh.

Menyedari besarnya manfaat dan keuntungan takaful serta mudarat dan kerugian dalam sistem insurans konvensional bagi umat Islam, maka Akademi Fikah, Pertubuhan Persidangan Islam (OIC) pada Disember 1985 mengeluarkan fatwa bahawa semua bentuk insurans konvensional adalah bercanggah dengan ajaran Islam.

Isi fatwa OIC ini, turut difatwakan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia, pada Jun 1972 yang menyebutkan bahawa insurans konvensional adalah tidak selari dengan prinsip syariat. Ini kerana ia mengandungi unsur riba, maisir, gharar, juhalah dan eksploitasi serta ketidakadilan.



Untuk itu, sistem insurans Islam (takaful) perlu diperkembangkan selari dengan prinsip kerjasama dan tolong-menolong serta bebas daripada amalan bercanggah dengan al-Quran dan hadis.

Sebagai pilihan kepada insurans konvensional, takaful diwujudkan bagi menyediakan perlindungan yang bebas daripada unsur yang bercanggah dengan ajaran Islam.

Takaful mendapat tempat dalam Islam kerana bermatlamat dan berteraskan pembahagian tanggungjawab bersama, kerjasama dan perpaduan yang sifatnya saling menguntungkan untuk melindungi seseorang daripada pelbagai risiko.

Ringkasnya, takaful menjiwai roh Islam, bebas daripada amalan kebarangkalian, ketidakpastian, perjudian, penindasan dan ketidakadilan. Ia mampu menawarkan jaminan bantuan dan keselamatan. Perkara ini sesuai dengan makna perkataan takaful itu sendiri. Takaful dalam bahasa Arab, berasal dari akar kata kafala, mempunyai makna "jaminan". Singkatnya, takaful sering diertikan dengan "berbahagi tanggungjawab" dan "berbahagi jaminan".

Dalam perspektif ekonomi, takaful bermaksud sebagai jaminan bersama oleh sekumpulan orang dalam masyarakat yang sama, terhadap risiko atau malapetaka yang menimpa nyawa, harta benda dan benda berharga lainnya. Inilah sebabnya takaful lebih dikenal sebagai insurans kerjasama.

Dalam takaful, ada empat parti yang terbabit iaitu peserta, pengusaha/pelaksana, pihak yang diinsuranskan dan ahli waris.

Pada prinsipnya, siapa saja dalam masyarakat boleh menyumbang sejumlah wang mereka ke dalam bentuk tabungan kerjasama yang saling menguntungkan (takaful). Dan apabila berlaku malapetaka atau musibah, maka wang tabungan itu akan dapat digunakan untuk membantu mereka yang menghadapi risiko yang ditentukan.

Jadi, sesiapa saja yang membayarkan wang untuk tabungan bersifat saling menguntungkan disebut sebagai peserta. Sementara sesiapa di antara peserta yang menghadapi musibah atau risiko akan mendapat bantuan kewangan daripada tabungan itu dikenali sebagai pihak yang diinsuranskan.

Mereka yang mendapat keuntungan daripada tabungan itu pula dikenali sebagai ahli waris. Jumlah wang yang dibayar oleh peserta ke dalam tabungan itu pula disebut sumbangan. Dana yang disumbangkan oleh peserta takaful akan ditadbir oleh badan, institusi, atau pertubuhan berlesen/berdaftar yang dikenal dengan pelaksana takaful.

Dalam mentadbir dana itu, pengusaha takaful berkewajiban untuk menguruskan dana selari dengan prinsip syariah dan harus menyediakan sejumlah wang berpatutan bagi sesiapa yang menghadapi risiko.

Selanjutnya, dana yang dibayar oleh peserta takaful secara ansuran akan ditempatkan dalam dua jenis tabungan iaitu dana untuk pelaburan yang dijalankan berasaskan prinsip mudharabah. Sementara, beberapa peratus daripada dana itu akan ditempatkan dalam bentuk tabungan sedekah berdasarkan prinsip tabarru'.

Dengan perkataan lain, wang yang dibayar oleh peserta takaful akan dimasukkan ke dalam dua akaun berbeza iaitu Akaun Peserta (PA) dan Akaun Khas Peserta (PSA).

Ansuran peserta akan lebih banyak ditempatkan dalam PA. Dana dalam PA inilah yang akan dilaburkan oleh pengusaha takaful berteraskan prinsip mudharabah.

Sementara, dana PSA akan diperuntukkan sebagai tabarru' (sedekah) peserta yang jumlahnya relatif kecil bergantung kebijaksanaan perusahaan takaful. Ia akan digunakan untuk membantu anggota takaful yang mengalami pelbagai musibah dalam membantu menutup kerugian mereka.

Pendek kata, peserta takaful akan dibantu untuk meringan dan menutupi kerugian harta benda atau pelbagai ketidakberuntungan yang berlaku pada bila-bila masa dengan menggunakan sumber dari PSA.

Sekali lagi ini bermakna bahawa peserta tidak saja mendapat pulangan keuntungan daripada kontrak mudharabah, malah melakukan kerja-kerja kebajikan yang berganjarkan pahala pada hari akhirat.

Ini kerana membantu peserta lainnya yang menghadapi musibah melalui kontrak tabarru'.

Pendek kata, menyertai takaful adalah amat digalakkan Islam.

Dengan menyertai takaful bermakna bahawa kita membuat perancangan ekonomi untuk mengurang dan melindungi diri serta keturunan daripada pelbagai penderitaan dan keperitan hidup akibat malapetaka atau musibah yang menimpa.

Rasulullah saw bersabda: “...Sungguh jauh lebik baik jika kamu meninggalkan anak-anak kamu kaya, berbanding miskin dan meminta-minta belasan kasihan orang lain..." (Hadis riwayat Bukhari).

No comments: