Tuesday, July 28, 2009

Etiqa Takaful rangkul anugerah terbaik

Source : Utusan Malaysia On-Line
Wednesday, 15 July 2009

KUALA LUMPUR 14 Julai - Etiqa Takaful Bhd. (Etiqa Takaful) telah memenangi anugerah Bankatakaful Terbaik di Anugerah Takaful Antarabangsa 2009, yang diadakan sempena Sidang Takaful Antarabangsa Ketiga 2009 di London baru-baru ini.

Anugerah itu disampaikan kepada Etiqa Takaful oleh ahli House of Lords, Lord Mohd Shiekh, yang juga Ketua Forum Konservatif Muslim.

Ketua Pegawai Eksekutif Etiqa Takaful, Mohd Tarmidzi Ahmad Nordin berkata, Etiqa merupakan syarikat takaful pertama di Malaysia memperkenalkan Produk Berkaitan Pelaburan Patuh Syariah, salah satunya ialah Al-Waqi yang boleh didapati menerusi Maybank.

''Sambutan terhadap produk ini amat menggalakkan dengan caruman lebih RM100 juta. Ini satu pencapaian memberangsangkan di dalam keadaan ekonomi semasa,''katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

Tambah Mohd. Tarmidzi, kepercayaan rakan bankatakaful dan juga pelanggan terbukti dengan pertumbuhan 58.9 peratus dalam perbankan takaful bagi tempoh hanya sembilan bulan pertama tahun kewangan 2008 / 2009.

''Sejak pelancaran jenama Etiqa pada November 2007, yang berteraskan ciri-ciri insaniah dalam insurans dan takaful, kami telah memperkasakan modal insan dan mempermudah proses untuk memberikan pengalaman positif kepada pelanggan apabila berurusan dengan kami.

''Ini secara sendirinya merupakan pemacu di sebalik pertumbuhan Etiqa Takaful yang mencapai pertumbuhan perniagaan 32.1 peratus pada sembilan bulan pertama tahun kewangan 2008 / 2009," jelasnya.

Anugerah Takaful Antarabangsa telah diperkenalkan buat julung kalinya sempena Sidang Takaful Antarabangsa kedua pada 2008 dan dianjurkan oleh Afkar Consulting dan Forum Perniagaan Timur Tengah.

Sidang Takaful Antarabangsa 2009 mendapat sambutan hebat, dengan kehadiran lebih daripada 300 perwakilan dari lebih 30 negara.
All Rights Reserved by SyedFarid.eTiQa

No comments: